Menjadi seorang usahawan pasti melibatkan banyak risiko dan ketidakpastian. Namun, ia juga boleh menjadi satu pengalaman yang sangat berharga dan dapat menjana pendapatan yang lumayan sebagai “boss” kepada perusahaan sendiri. Setelah semua cabaran getir dapat diatasi dengan kerja keras dan pengorbanan yang telah dibuat, seorang usahawan tentunya akan merasa lebih puas dan bersyukur apabila melihat hasil yang diperolehi.
Untuk mengiktiraf pencapaian terbaik, semangat membara dan sumbangan bermakna usahawan FELDA kepada negara, FELDA telah memperkenalkan Anugerah Usahawan FELDA (AUF). Perlaksanaan AUF turut bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berwibawa, berdaya maju dan menjadi role model kepada masyarakat FELDA terutamanya.
Pada tahun 2021, terdapat dua (2) kategori anugerah iaitu:
- Anugerah Usahawan FELDA 2021 – Kategori Pertanian
- Anugerah diberi kepada usahawan terbaik bagi Projek Ternakan/ Tanaman/ Akuakultur.
- Anugerah Usahawan FELDA 2021 – Kategori Perniagaan
- Anugerah diberi kepada usahawan terbaik bagi Projek Perniagaan/ Perkhidmatan/ Perusahaan/ Kraf.
Pemilihan calon adalah berdasarkan keutamaan berikut:
- Pendapatan tahunan tertinggi tahun 2021 (berdasarkan data Nilai Jualan Kasar Terkumpul sehingga Disember 2021 di dalam Sistem Maklumat Usahawan Peneroka (SEIS)).
- Pencapaian dalam pemasaran.
- Anugerah yang diterima dan/atau pensijilan yang dimiliki.
- Sumbangan kemasyarakatan.
Senarai penerima AUF Tahun 2021 sempena Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2022 adalah seperti berikut:
Bil | Kategori | Wilayah/Rancangan | Nama Syarikat | Nama Usahawan | Projek |
1 | Perniagaan | Segamat / Pemanis Satu | Tumin Enterprise | Tumin bin Badawi | Perniagaan – Kedai Mini Market |
2 | Pertanian | Kuantan / Lepar Hilir 3 | Wak Ong Niaga Enterprise | Jamiri Bin Marzuki | Ternakan – Lembu & Kerabu Fidlot |
Penganjuran anugerah ini diharapkan akan terus menjadi pemangkin semangat kebangkitan usahawan FELDA di seluruh negara untuk berkembang pesat mencipta nama bukan sahaja di pasaran lokal tetapi juga ke peringkat global.